Tidak ada pasukan yang pulang dengan tangan kosong!
Itu gambaran jelas prestasi kontinjen negara di Sukan Universiti ASEAN (AUG), di Vientiane, Laos dengan semua 118 sukan yang disertai memperoleh pingat, sekurang-kurangnya gangsa.
Urutan kejayaan negara pada penyertaan AUG edisi ke-16 tahun ini sudah pasti didahului dengan sukan renang yang menyumbang pingat terbesar, 21 emas, sembilan perak dan tujuh gangsa.
Cai Lin, Yi Ting cemerlang
Daripada jumlah 21 emas itu, lebih separuh hadir menerusi dua jaguh renang negara, Khoo Cai Lin dan Siow Yi Ting, dengan masing-masing mencapai puncak memenangi tujuh emas.
Hadir tanpa pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Pandelela Rinong, satu lagi aksi di kolam renang, terjun juga tidak mengecewakan dan turut cemerlang dengan menyapu bersih kesemua empat emas yang dipertandingkan dan turut mencuri dua pingat perak.
Kejutan berlaku dalam skuad olahraga negara kerana mampu melepasi sasaran 11 emas, 10 perak dan enam gangsa malah sukan tempur, karate-do juga tidak mengecewakan dengan kejayaan tujuh emas, dua perak dan lima gangsa.
Dibimbing oleh bekas olimpian, Muhammad Marbawi Sulaiman, memanah juga berupaya membuat bidikan tepat enam emas, tiga perak dan tiga gangsa, juga turut dinobatkan juara keseluruhan bagi acara itu.
Luar jangkaan
"Kita hanya sasar 36 emas kerana masih kurang arif dengan kekuatan lawan. Pencapaian ini sesuatu perkara yang di luar jangkaan, saya langsung tidak pernah menyatakan impian untuk mencapai kejayaan bergelar juara keseluruhan... sukan seperti renang, olahraga dan memanah menjadi sukan yang banyak menyumbangkan emas," kata Chef de Mission negara, Professor Dr Yahaya Ibrahim.
Dua lagi sukan tempur – wushu dan pencak silat – turut tidak mengecewakan dengan kedua-dua pasukan mengumpul tujuh emas, tujuh perak dan 13 gangsa, manakala bekas pemain negara, Mohd Razif Ab Latiff cemerlang ketika membantu skuad badminton meraih emas dalam acara beregu lelaki dan beregu campuran.
Sukan tenis pula berpuas hati dengan satu emas, satu perak, empat gangsa manakala judo turut tidak mengecewakan dengan kejayaan satu emas dan perak serta tiga gangsa.
Paling mencuri tumpuan pastinya sukan baru diperkenalkan di AUG kali ini, Muay Thai kerana masih mampu mencuri tiga perak serta empat gangsa dalam aksi yang didominasi oleh kuasa besar, Thailand.
Sasar Sukan Universiti Dunia
Kekalahan pasukan bola sepak negara di tangan pasukan Gajah Perang di peringkat separuh akhir, terubat selepas mengetepikan Myanmar 3-2 pada penentuan pingat gangsa.
Yang pasti, kejayaan meleburkan sejarah 30 tahun dan rekod menjadi juara keseluruhan buat kali pertama di negara asing mengangkat Malaysia ke satu tahap lebih tinggi dan menjadi bualan di kalangan negara Asia Tenggara lain.
Dan kini, semua pihak seharusnya terus bekerja keras bagi mempertahankan mahkota kejuaraan pada saingan edisi ke-17 di Indonesia dua tahun lagi tetapi dalam masa terdekat Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) pada pertengahan tahun depan pasti lebih diutamakan.