"Banyak perubahan perlu dilakukan dalam corak permainan kami terutama aspek tahap keyakinan dan cara bagaimana untuk kekal fokus sepanjang perlawanan selain cara menghabiskan perlawanan lebih awal. Kami pun sudah berbincang dengan jurulatih mengenai perkara ini dan selepas Terbuka Indonesia (bulan depan) kami akan fokus terhadap persiapan ke Kejohanan Dunia.
Tidak boleh lari lagi
Kim Her sebelum ini mendedahkan punca utama kekalahan Kien Keat-Boon Heong pada aksi suku akhir Terbuka India minggu lalu adalah kerana corak permainan mereka sudah dibaca pihak lawan di mana ketika itu mereka tewas buat kali ketiga kepada beregu Korea Selatan, Kim Ki Jung-Kim Sa Rang.
"Kami tewas sebab terlalu memikirkan mengenai lawan kami (Ki Jung-Sa Rang) kerana kami tidak pernah menang ke atas mereka dalam dua pertemuan sebelum ini. Kami akan cuba mengatasi masalah kami kerana mahu atau tidak kami tidak boleh lari daripadanya," kata Boon Heong.
Beregu nombor dua dunia itu tidak mempunyai pilihan selain mara ke final Kejohanan Dunia tahun ini seperti mana ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) andai tidak mahu gandingan mereka dipisahkan.
Pada aksi pusingan kedua Terbuka Malaysia, hari ini, mereka akan menentang beregu Indonesia, Ronald Alexander-Selvanus Geh yang mara selepas menang ke atas satu lagi pasangan negara, Nelson Heg Wei Keat-Teo Ee Yi 21-12, 21-18.
Kien Keat-Boon Heong perlu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu bagi mengelak kedudukan ranking mereka jatuh.