Diberdayakan oleh Blogger.

Popular Posts Today

Sime Darby gah kekal terajui Liga Perdana

Written By Unknown on Sabtu, 30 Maret 2013 | 15.23

Kuala Lumpur: Sime Darby kembali melakar kemenangan berharga untuk meletakkan mereka terus kekal di persada Liga Perdana selepas menewaskan Polis 3-2 di Stadium Selayang, petang semalam.

Dua gol jaringan penyerang import Croatia, Karlo Primorac pada minit ke-12 dan 49 menyaksikan kebangkitan anak buah Ismail Zakaria selepas ketinggalan hasil jaringan pembukaan Khairul Akhyar seawal minit ketujuh.

Sime Darby bagaimanapun terus mengasak kubu Polis dan akhirnya melebarkan kelebihan 10 minit sebelum tamat menerusi Fazrul Hazli Kadri sebelum Afif Kamaruddin merapatkan jurang pada masa kecederaan.

Di Stadium Negeri, Kuching, jaringan tunggal Bobby Gonzales memastikan tiga mata buat Sarawak ketika menang tipis 1-0 ke atas Kedah. Sarawak terikat 27 mata dengan Sime Darby di persada liga dan hanya dibezakan menerusi jumlah jaringan.

Di Stadium UiTM Shah Alam, Johor turut mengutip tiga mata selepas menewaskan KL SPA 3-1 sekali gus memastikan laluan masih terbuka untuk memburu kedudukan di kelompok dua teratas.

Johor bagaimanapun terpaksa menunggu hingga enam minit terakhir sebelum memadamkan kelebihan satu gol KL SPA menerusi Zamri Hassan (m-84) dan Muriel Orlando serta Farid Ideris memastikan kemenangan dengan dua gol dalam tempoh tiga minit terakhir.

KL-UiTM FC hari ini
Di Stadium Utama Negeri, Kangar, Perlis sekadar mengutip satu mata apabila terikat 1-1 dengan Sabah, mujur rembatan Syed Mohd Ghaffar Syed Amer pada minit ke-86 berjaya memadam jaringan pendahuluan Sabah menerusi Koh Traore pada minit ke-12.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, tuan rumah NS Betaria turut gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan Pos Malaysia.

Satu lagi perlawanan, Kuala Lumpur bertemu UiTM FC yang sepatutnya berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, petang semalam terpaksa dipinda ke petang ini dengan gelanggang diubah ke Stadium UiTM Shah Alam akibat keadaan padang teruk di Cheras.


15.23 | 0 komentar | Read More

Kapten Tok gajah mahu ranap impian T-Team

Kuantan: Kapten Pahang, Jalaluddin Jaafar akur misi sukar bakal dihadapi skuad berkenaan apabila bertemu T-Team di Stadium Sultan Ismail Nashiruddin Shah, petang ini.

Namun, pemain paling senior itu percaya tempoh rehat tiga minggu banyak mematangkan mereka terutama dari segi persefahaman lebih jitu untuk memastikan tiga mata milik skuad Tok Gajah.

Katanya, persediaan semua pemain yang berada pada tahap 100 peratus meletakkan skuad itu mampu mengulangi persembahan bertenaga seperti yang dipersembahkan pada awal saingan Liga Super lalu.

Rencah percaturan Dollah

"Tetapi, kami akui T-Team bukan calang-calang pasukan untuk ditewaskan terutama mereka ada kelebihan beraksi di gelanggang sendiri. Namun, kami percaya perancangan yang akan dilakukan jurulatih (Dollah Salleh) esok (petang ini) akan membuahkan hasil positif untuk membawa pulang tiga mata berharga," katanya semalam.

BH Sukan difahamkan, Dollah akan menyenaraikan penyerang import dari Maghribi Mohamed Borji dalam kesebelasan utama bagi memperkasakan jentera serangan dan tambahan kepulangan Azamuddin Akil dan R Gophinathan serta Mohd Fauzi Rozlan mampu memberi impak dalam skuad berkenaan.


15.23 | 0 komentar | Read More

FELDA sentap ego Selangor

Kelana Jaya: Wajah Irfan Bakti Abu Salim tetap ceria di sebalik pencapaian Selangor yang sekadar seri 1-1 ketika menentang FELDA United berbekal 10 pemain pada baki setengah jam terakhir dalam aksi terakhir pusingan pertama, Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, petang semalam.

Selepas turun tempang tanpa kelibat kapten, Asraruddin Putra Omar dan pertahanan import, Peter Chrappan yang digantung satu perlawanan serta penyerang import, Francis Forkey Doe yang belum pulang dari Liberia, Selangor terpaksa bertahan selepas bek kiri, Adib Aizuddin Latif dibuang padang akibat kad kuning kedua pada minit ke-63.

"Saya puas hati kerana walaupun beraksi tanpa dua import, pemain lain dapat beraksi dengan baik tetapi susah nak menang jika kurang mendapat percubaan tepat. FELDA United mengawal ketat di kawasan mereka dan hanya mula menyerang selepas kami beraksi 10 pemain.

Keputusan pengadil muktamad

"Doe mengalami masalah penerbangan dan hanya akan tiba pagi esok (hari ini). Memang saya kecewa kerana jika dia ada mungkin permainan berubah. Mengenai kad merah Adib, ada tarikan daripada Syazwan Zainon sebelum kekasaran berlaku. Apapun keputusan pengadil muktamad," kata Irfan ketika ditemui selepas perlawanan.

FELDA United mendahului menerusi sepakan penalti Carlos Junior pada minit ke-24 selepas Adib menjatuhkan Syazwan tetapi Selangor berjaya menyamakan kedudukan menerusi tolakan cantik Amri Yahyah, tiga minit kemudian.

Jurulatih FELDA United, K Devan pula berkata: "Pening juga, ada peluang boleh menang, kami tetap gagal menggunakannya. Penyudah kami memang kurang baik sejak dari awal musim lagi. Mungkin kena tukar stadium baru boleh menang di gelanggang sendiri.
"Untuk pusingan kedua nanti, kami membawa masuk tiga pemain baru iaitu Mohizam Shah Dawood, K Rajan dan Azmi Muslim. Jika jumpa penyerang import yang lebih bagus pula, kami akan pertimbangkan kerana Mohammed Ghaddar dibelenggu kecederaan belakang."


15.23 | 0 komentar | Read More

Azzuddin bidas pengkritik

Kuala Lumpur: Datuk Azzuddin Ahmad (gambar), semalam membidas pengkritik 'jangan hanya bercakap' tanpa mengetahui perkara sebenar yang sedang berlaku dalam kancah bola sepak tanah air.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu menempelak pengkritik yang mudah menyalahkan badan induk itu tanpa usul periksa terutama membabitkan kes ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal yang didakwa melanggar Artikel 88 statut FAM.

Kenapa FAM disalahkan

"Jangan bercakap kalau tidak tahu hal sebenar. Mereka hanya menjalankan tugas dan sekiranya tidak ada sebarang kes, tidak ada sebab untuk Rajagobal dikenakan hukuman.

"Jawatankuasa ini (tatatertib) satu badan berkecuali yang tidak membabitkan mana-mana ahli FAM. Jadi mengapa FAM perlu dipersalahkan?," kata Azzuddin.

BH Sukan semalam melaporkan, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Reduan Abdullah menjelaskan betapa Rajagobal tidak ada sebarang keistimewaan untuk terlepas daripada hukuman sekiranya didapati bersalah, tanpa mengira jasa yang pernah diberikan kepada arena sukan tempatan.

Dalam kes berasingan, Azzuddin enggan tunduk dengan desakan kumpulan penyokong tegar yang menggelarkan diri 'Presiden FAM Sila Letak Jawatan (PFSLJ)' mendesak FAM memberi jawapan terhadap lima permasalahan yang diutarakan
"Siapa mereka dan apa yang mereka ingin tahu tentang FAM? Mereka ada hak bercakap tapi kami tidak akan beri sebarang jawapan," katanya.


15.23 | 0 komentar | Read More

Montenegro nyaris aib England

Written By Unknown on Kamis, 28 Maret 2013 | 15.23

Podgorica (Montenegro): Jaringan Dejan Damjanovic membantu Montenegro mengikat England 1-1 pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2014, awal pagi semalam untuk memastikan mereka terus kekal berkelebihan dua mata mengatasi England di tangga teratas Kumpulan H.

Keputusan di laman sendiri itu membolehkan Montenegro mengumpul 14 mata berbanding England 12 mata, berbaki empat perlawanan termasuk pertembungan ulangan kedua-dua pasukan di Wembley, Oktober depan. Poland di tangga ketiga dengan lapan mata.

Hilang kawalan

England terlebih dulu di hadapan seawal minit keenam apabila Wayne Rooney menanduk masuk sepakan sudut Steven Gerrard tetapi pemain gantian tuan rumah, Damjanovic berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-76.

"Untuk memenangi perlawanan ini, kami perlu beraksi pada separuh masa kedua sama seperti yang kami lakukan pada separuh masa pertama," kata pengurus England, Roy Hodgson.

"Saya fikir kami melakukan hantaran bola cukup baik dan memiliki penguasaan di bahagian tengah. Tapi pada separuh masa kedua, malangnya kami hilang kawalan itu dan Montenegro beraksi dengan baik untuk menguasai permainan berbanding kami."

Bukan keputusan teruk
Jurulatih Montenegro, Branko Brnovic pula berkata: "Saya beritahu pemain ketika rehat yang mereka tidak perlu takut apa-apa dengan pasukan England. Saya kata, England bukan lebih baik daripada kita pun dan akhirnya mereka berjaya melakukannya."

Keputusan seri itu memberi tamparan kepada Hodgson selepas pengendali England itu melakukan beberapa pertukaran pemain berbanding barisan yang turun ketika mereka membelasah San Marino 8-0, Jumaat lalu.

"Saya tak rasa ini satu keputusan yang teruk kerana Montenegro jelas sebuah pasukan yang sukar untuk ditewaskan. Montenegro dan Poland akan bertandang ke tempat kami dan saya fikir segala-galanya masih terletak di tangan kami untuk memastikan kemenangan pada dua perlawanan itu nanti," jelas Hodgson.
AP


15.23 | 0 komentar | Read More

‘Dibaham’ gara-gara cuaca salji

Kuala Lumpur: Selepas mengikat skuad B-19 Slovakia 1-1 di Zlate Moravce, Slovakia pada aksi sulung kem latihan lima bulan di Eropah, Sabtu lalu, skuad B-23 negara, Harimau Muda A mengalami kekalahan memalukan dalam perlawanan kedua apabila dibelasah 7-1 oleh skuad B-21 Georgia dalam cuaca bersalji -5 darjah Celsius di Vienna, Austria, kelmarin.

Jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee mengakui bertanggungjawab di atas kekalahan itu dan menyifatkan ia pengajaran berguna buat dirinya dan pemain betapa masih banyak kekurangan perlu diperbaiki menjelang misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar, Disember depan.

"Kami terima pelawaan skuad B-21 Georgia ini sebaik tiba di Slovakia, minggu lalu. Memang kalau diikutkan, kami belum bersedia berdepan lawan hebat seperti ini, tetapi bagi saya inilah peluang untuk kami menilai kemampuan. Tak kisahlah menang atau kalah.

Ketinggalan 4-0 babak pertama

"Ini kekalahan terbesar saya sepanjang mengendalikan Harimau Muda. Satu pengajaran berguna apabila beraksi di peringkat tinggi, pemain perlu cepat membuat keputusan apabila mendapat bola.

"Jika pemain ambil iktibar dan terus berusaha memantapkan diri sepanjang lima bulan di Eropah ini, saya yakin mereka mampu mempamerkan persembahan lebih baik, tapi perlu konsisten dan jangan sambil lewa," kata Kim Swee ketika dihubungi di Slovakia, semalam.

Dengan merehatkan penjaga gol utama, Izham Tarmizi Roslan bagi memberi pengalaman kepada Farhan Abu Bakar, Harimau Muda A ketinggalan 4-0 pada babak pertama menerusi dua jaringan berpunca sepakan sudut, satu sepakan percuma dan satu sepakan penalti.
Selepas merapatkan kedudukan 4-1 menerusi pemain tengah, Syahid Zaidon pada awal babak kedua, gawang Harimau Muda A bolos tiga lagi gol selepas itu meskipun Kim Swee memasukkan dua pemain yang baru pulih daripada kecederaan, Irfan Fazail dan Ferris Danial Mat Nasir.


15.23 | 0 komentar | Read More

Anugerah AFF: Hanya dua peluang

Kuala Lumpur: Senarai pendek pencalonan dan pemenang bagi Anugerah Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2013 yang dikeluarkan, semalam menyaksikan Malaysia berkemungkinan hanya memenangi dua daripada 18 anugerah sekali gus mencerminkan kedudukan sebenar kita di pentas bola sepak Asia Tenggara.

Lima kategori anugerah sudah pun dipilih pemenangnya manakala senarai pendek calon bagi 13 anugerah lain hanya diumumkan pemenangnya pada majlis anugerah yang julung kali diadakan itu di Kuantan, 3 April ini.

Malaysia sah meraih dua anugerah iaitu menerusi bekas Presiden AFF dari 1996 hingga 2011, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang dipilih pemenang Anugerah Perkhidmatan Seumur Hidup AFF manakala Presiden AFF ketika ini, Sultan Ahmad Shah dipilih pemenang Anugerah Muhibah ASEAN.

Bagi Anugerah Kesebelasan Terbaik AFF berdasarkan prestasi pada Piala Suzuki AFF 2012, hanya kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim tersenarai di celah-celah lima pemain Thailand dan tiga pemain Singapura serta masing-masing seorang pemain Vietnam dan Myanmar.

Harapan Raja tipis

Dua lagi anugerah yang turut sudah diumumkan pemenangnya ialah Gol Terbaik Piala Suzuki AFF 2012 dimenangi penyerang Thailand, Teerasil Dangda dan Pasukan Futsal Terbaik dimenangi Thailand.

Baki 13 anugerah lain yang bakal diumumkan pemenangnya, 3 April ini menyaksikan Malaysia hanya dicalonkan dalam lima kategori iaitu Persatuan Terbaik, Pasukan Kebangsaan Lelaki Terbaik, Jurulatih Terbaik Lelaki (Datuk K Rajagobal), Penolong Pengadil Lelaki Terbaik (Sabri Mat Daud) dan Penolong Pengadil Wanita Terbaik (Widiya Habibah Shamsuri).
Tiada wakil Malaysia tercalon dalam senarai pendek untuk kategori Pengadil Terbaik Lelaki dan Wanita, Pemain Terbaik Lelaki dan Wanita, Pemain Muda Terbaik, Pemain Futsal Terbaik, Jurulatih Wanita Terbaik serta Pasukan Kebangsaan Wanita Terbaik.

Bagaimanapun, harapan Rajagobal untuk memenangi kategori Jurulatih Terbaik Lelaki mungkin 'hanya mimpi' kerana Radojko Avramovic dan Winfried Schafer dilihat lebih berjaya kerana membawa Singapura dan Thailand mara ke final Piala Suzuki AFF 2012.


15.23 | 0 komentar | Read More
techieblogger.com Techie Blogger Techie Blogger