Kuala Lumpur: Sime Darby kembali melakar kemenangan berharga untuk meletakkan mereka terus kekal di persada Liga Perdana selepas menewaskan Polis 3-2 di Stadium Selayang, petang semalam.
Dua gol jaringan penyerang import Croatia, Karlo Primorac pada minit ke-12 dan 49 menyaksikan kebangkitan anak buah Ismail Zakaria selepas ketinggalan hasil jaringan pembukaan Khairul Akhyar seawal minit ketujuh.
Sime Darby bagaimanapun terus mengasak kubu Polis dan akhirnya melebarkan kelebihan 10 minit sebelum tamat menerusi Fazrul Hazli Kadri sebelum Afif Kamaruddin merapatkan jurang pada masa kecederaan.
Di Stadium Negeri, Kuching, jaringan tunggal Bobby Gonzales memastikan tiga mata buat Sarawak ketika menang tipis 1-0 ke atas Kedah. Sarawak terikat 27 mata dengan Sime Darby di persada liga dan hanya dibezakan menerusi jumlah jaringan.
Di Stadium UiTM Shah Alam, Johor turut mengutip tiga mata selepas menewaskan KL SPA 3-1 sekali gus memastikan laluan masih terbuka untuk memburu kedudukan di kelompok dua teratas.
Johor bagaimanapun terpaksa menunggu hingga enam minit terakhir sebelum memadamkan kelebihan satu gol KL SPA menerusi Zamri Hassan (m-84) dan Muriel Orlando serta Farid Ideris memastikan kemenangan dengan dua gol dalam tempoh tiga minit terakhir.
KL-UiTM FC hari ini
Di Stadium Utama Negeri, Kangar, Perlis sekadar mengutip satu mata apabila terikat 1-1 dengan Sabah, mujur rembatan Syed Mohd Ghaffar Syed Amer pada minit ke-86 berjaya memadam jaringan pendahuluan Sabah menerusi Koh Traore pada minit ke-12.
Di Stadium Hang Jebat, Melaka, tuan rumah NS Betaria turut gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan Pos Malaysia.
Satu lagi perlawanan, Kuala Lumpur bertemu UiTM FC yang sepatutnya berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, petang semalam terpaksa dipinda ke petang ini dengan gelanggang diubah ke Stadium UiTM Shah Alam akibat keadaan padang teruk di Cheras.