Kazan: Walaupun hilang dua pemain dan dua kali lawan dianugerahkan sepakan penalti, namun ia tidak menghalang skuad bola sepak negara merakam kemenangan mengejutkan ke atas pasukan pilihan Itali pada perlawanan pembukaan Kumpulan C di temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) ke-27, di sini malam tadi.
Penjaga gol simpanan, Mohd Farhan Abu Bakar yang masuk menggantikan Mohd Izham Tarmizi Roslan yang dibuang padang pada minit ke-74, muncul wira negara selepas menyelamatkan dua sepakan penalti Itali ketika Malaysia sedang mendahului 1-0 hasil jaringan Thamil Arasu pada minit ke-20.
Skuad kendalian Ong Kim Swee bagaimanapun tidak terjejas dengan situasi berkenaan sebaliknya menambah jaringan menerusi D Saarvindran empat minit sebelum tamat permainan untuk mengutip tiga mata penuh.
Itali antara pasukan pilihan di temasya ini selepas menjuarai edisi 1997 dan lima kali muncul naib juara (1999, 2003, 2005, 2007 dan 2009). Namun misi lebih sukar menanti Kim Swee dan anak buahnya apabila hanya berbekalkan 13 pemain untuk perlawanan bertemu naib juara edisi lalu, Great Britain esok.
Skuad bawah 23 negara yang dalam persiapan menghadapi Sukan SEA di Myanmar Disember ini, tiba di Kazan dengan 17 pemain didaftarkan - termasuk Wan Ahmad Amirzafran Nadriz yang cedera lebih awal sebelum bertolak ke Kazan.
Ketiadaan Mohd Izham dan Syahrul Azwari yang digantung satu perlawanan, ditambah dengan kecederaan hamstring dialami Nazirul Naim Che Hashim pada babak pertama menjadikan hanya 13 pemain yang cergas sepenuhnya untuk perlawanan esok.
Justeru, Kim Swee mengharapkan situasi perlawanan yang agak tegang itu dijadikan pengalaman berguna tambahan pula Malaysia masih berbaki empat perlawanan.
"Itulah yang saya timbulkan sebelum datang ke sini tentang kekurangan pemain dan ia berlaku," kata Kim Swee selepas perlawanan. "Ini satu pengajaran berguna dan kita harus bersiap sedia di masa depan dengan skuad yang besar.
Tiada penjaga gol simpanan
"Kita mempunyai dua pemain yang kena kad merah, jadi menjadikannya 14 pemain selain Amirzafran Nadriz yang cedera. Kini hanya ada 13 saja tanpa pemain simpanan di posisi penjaga gol, inilah perkara yang perlu kita teliti semula.
"Secara jujur, kita tidak bermain seperti mana pasukan kerap bermain tetapi inilah cara untuk dapatkan kemenangan jadi ada perubahan dari segi taktikal.
"Apa yang saya lihat, selepas mendahului kita bertahan dengan baik walaupun pasukan lawan diberi dua sepakan penalti dan dua pemain kita dilayangkan kad merah yang boleh dipersoalkan.
"Kita perlu perhatikan kembali video dan pemain menunjukkan satu keajaiban yang mana mampu bertahan sehingga minit-minit terakhir tanpa membenarkan Itali masuk ke kawasan petak penalti kita," kata Kim Swee.
Anda sedang membaca artikel tentang
Magis Harimau Muda!
Dengan url
https://sukanmalays.blogspot.com/2013/07/magis-harimau-muda.html
Anda boleh menyebar luaskannya atau mengcopy paste-nya
Magis Harimau Muda!
namun jangan lupa untuk meletakkan link
sebagai sumbernya
0 komentar:
Posting Komentar